Banyak kajian telah membuktikan bahawa jangkitan Covid-19 boleh memberikan kesan jangka panjang kepada bekas pesakit yang telah sembuh terutamanya bagi mereka yang mengalami simptom teruk dan terpaksa dimasukkan ke hospital.

Antara kesan jangka panjang yang dialami oleh bekas pesakit Covid-19 adalah seperti keletihan, kesukaran bernafas, batuk, sakit dada, sakit pada otot, masalah tidur dan banyak lagi.

Kepintaran semakin menurun?

Malah, satu kajian baru yang diterbitkan dalam EClinicalMedicine menyatakan bahawa pesakit yang pernah dijangkiti wabak Covid-19 juga mungkin akan mengalami penurunan kecerdasan yang agak ketara.

Kajian ini menambahkan lagi kebimbangan kesan jangka panjang wabak itu terhadap badan dan otak bekas pesakit. Satu kajian jangka panjang harus segera dimulakan untuk menilai sejauh manakah kesan Covid-19 terhadap pesakit.

Dalam kajian yang dijalankan oleh Imperial College London itu, seramai 81,337 orang peserta yang telah mengambil bahagian dalam penilaian atas talian melalui ujian yang dinamakan sebagai Ujian Kecerdasan Great British.

penurunan kemahiran kognitif

Ia merupakan ujian kognitif yang telah disahkan secara klinikal dan melibatkan beberapa siri cabaran terhadap keupayaan otak manusia termasuklah soal selidik yang perlu dijawab. Anda juga boleh mencuba ujian ini sendiri melalui laman web yang disediakan.

Kemahiran kognitif adalah kemahiran teras yang digunakan otak manusia untuk berfikir, membaca, belajar, menghafal dan memberikan tumpuan.

Ujian kecerdasan

Daripada keseluruhan 81,337 peserta, ada sebahagian yang pernah disahkan menghidap jangkitan Covid-19 melalui ujian saringan tetapi belum dimasukkan ke hospital kerana masih terkawal. Manakala sebahagian lagi pula pernah dirawat di hospital kerana mengalami masalah kesihatan yang teruk akibat jangkitan wabak itu. 

Hasil ujian ini telah diambil untuk menilai kemampuan kognitif peserta. Keputusan itu kemudian dibandingkan dengan sampel keseluruhan untuk mengenal pasti kesan berlanjutan daripada jangkitan wabak Covid-19.

pesakit covid

Setelah mengambil kira beberapa faktor seperti usia, jantina, latar belakang pendidikan dan bahasa pertama, penyelidik mendapati terdapat penurunan keupayaan kognitif pada mereka yang pernah menghidap Covid-19. Penurunan itu lebih ketara dikesan pada mereka yang mengalami kes jangkitan yang teruk.

Bekas pesakit yang mengalami masalah pernafasan mendapat markah ujian yang lebih rendah berbanding mereka yang tidak mengalaminya. Perbezaan markah juga dilihat ketara antara pesakit yang pernah dimasukkan ke hospital dan mereka yang tidak.

Walaupun ada kemungkinan sebab-sebab lain yang boleh mempengaruhi penilaian ini, para penyelidik cuba meneroka secara menyeluruh kemungkinan faktor lain termasuk keadaan pesakit sebelum dijangkiti Covid-19. Namun, mereka mendapati bahawa faktor lain tidak begitu banyak mempengaruhi ujian penilaian itu.

Kesan jangka panjang Covid-19

Penyelidik utama dan pakar dalam kesan jangka panjang Covid-19 iaitu Dr. Adam Hampshire telah membuat ringkasan kepada penemuan ini melalui rajah di bawah.

statistik ujian bekas pesakit covid

Melalui penemuan ini, bekas pesakit yang pernah dimasukkan ke hospital dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan adalah golongan yang menunjukkan penurunan kemahiran kognitif paling ketara.

Pengarah Unit Operasi Klinikal University College London, Profesor Christina Pagel, menerangkan bahawa sebanyak 25% daripada bekas pesakit Covid-19 masih mempunyai simptom jangka panjang walaupun disahkan bebas daripada wabak itu.

Bahkan, penurunan kemahiran kognitif tetap berlaku kepada bekas pesakit kronik sama ada mereka mempunyai gejala berterusan atau tidak. Ini menjadikan penurunan kemahiran kognitif sebagai salah satu kesan jangka panjang wabak Covid-19.

Apa yang membimbangkan adalah, kesan penurunan kecerdasan ini bukanlah sedikit. Mereka yang pernah menggunakan alat bantuan pernafasan menunjukkan penurunan sebanyak 0.47 sementara mereka yang tidak menggunakan alat itu mengalami penurunan kecerdasan sebanyak 0.27.

Kadar penurunan yang tinggi

Semakin tinggi kadar penurunan menunjukkan semakin banyak masalah kemahiran kognitif yang dialami oleh bekas pesakit ini. Penurunan kecerdasan ini lebih besar berbanding purata orang yang mengalami masalah kesukaran untuk belajar (0.38).

brainfog

Kekurangan paling ketara pada kemahiran kognitif mereka adalah seperti penaakulan (reasoning), penyelesaian masalah, membuat perancangan dan menetapkan sasaran. Keadaan ini sejajar dengan laporan pesakit yang mengalami masalah “brain fog”.

Walau bagaimanapun, penilaian data ini perlulah diteliti dengan lebih lanjut dan ditafsirkan dengan berhati-hati. Pengkaji tidak menolak kemungkinan faktor lain yang mungkin mempengaruhi penilaian neurologi seseorang bekas pesakit itu.

Hasil daripada kajian yang telah dilakukan ini perlulah diberi perhatian serius supaya kita lebih memahami betapa bahayanya kesan jangkitan wabak Covid-19 itu terhadap pesakit di setiap peringkat umur.