Mungkin ada antara anda yang pernah melihat fenomena unik seperti hujan ais atau hujan batu. Walaupun amat jarang berlaku di Malaysia, kejadian seumpama itu akan mengejutkan banyak pihak sekiranya terjadi.

Bagi mereka yang pernah melawat atau tinggal di negara beriklim sejuk pula, fenomena hujan batu ini boleh dikatakan agak biasa dan tidaklah begitu mengejutkan. Namun, bagaimana pula dengan “hujan iguana”?

Hujan iguana bukanlah seperti yang anda sangkakan di mana cicak besar itu jatuh dari langit seperti air hujan. Ia adalah ungkapan bagi fenomena unik yang berlaku di beberapa tempat di Amerika Syarikat seperti di Florida.

Habitat sesuai untuk iguana

Iguana adalah sejenis keluarga cicak herbivor yang berasal dari kawasan tropika di Mexico, Amerika Tengah, Amerika Selatan dan Kepulauan Caribbean. Pada hari ini, spesies cicak itu dilihat banyak membiak secara semula jadi di negara Amerika Utara seperti Amerika Syarikat.

Seperti yang anda ketahui, iguana juga sering dijadikan haiwan peliharaan dan dianggap sebagai haiwan eksotik di negara kita. Iguana tidaklah begitu eksotik di Amerika dan banyak ditemui hidup secara liar di sana.

hujan iguana 144

Walau bagaimanapun, penduduk Florida digemparkan dengan satu fenomena unik yang digelarkan sebagai “hujan iguana”. Kejadian hujan iguana ini berlaku ketika musim sejuk melanda Florida.

Untuk pengetahuan anda, Florida merupakan tempat paling panas di Amerika ketika musim sejuk. Secara puratanya, suhu terendah di Florida semasa musim sejuk adalah sekitar 18 darjah selsius. Ini menjadikan Florida sebagai tempat yang sesuai untuk didiami iguana di Amerika Syarikat

Musim sejuk 2020

Pada musim sejuk tahun 2020, cuaca sejuk yang agak ekstrem melanda kawasan Florida. Bacaan termometer sangat jarang berada di bawah suhu 10 darjah selsius di Florida tetapi pada tahun itu ia menurun antara 4 hingga -1 darjah selsius. Ia merupakan musim dingin paling sejuk sejak 21 tahun yang lalu.

Pada 21 Januari 2020, Biro Perkhidmatan Cuaca Nasional Florida telah memberi amaran tentang akan berlakunya fenomena di mana iguana akan jatuh dari pokok apabila suhu mencapai tahap beku. Ia bukanlah amaran pertama yang dikeluarkan biro itu.

iguana di florida

Iguana merupakan haiwan berdarah dingin dan suhu tubuhnya bergantung kepada cuaca persekitaran, bukannya mengikut aturan kendiri. Kebanyakan iguana tidak biasa berhadapan dengan cuaca beku dan apabila ia berlaku, haiwan itu terpaksa menyesuaikan diri untuk bertahan.

Apabila suhu jatuh bawah daripada 10 darjah selsius, iguana akan menjadi lesu. Jika suhu lebih rendah daripada 4 darjah selsius, haiwan itu akan memasuki fasa katatonik (simptom yang melibatkan kekurangan pergerakan).

Paru-paru mereka masih berfungsi dan jantung mereka masih berdegup tetapi fungsi badan lain seolah-olah dimatikan untuk menjimatkan oenggunaan tenaga.

Jatuh dari pokok

Keadaan ini akan menyebabkan hampir sebahagian besar iguana yang tinggal di atas pokok akan jatuh ke tanah. Mereka masih hidup walaupun kelihatan seperti tidak bernyawa.

iguana beku

Fenomena hujan iguana ini berlaku di hampir semua tempat di Florida terutamanya Selatan Florida yang paling terjejas akibat cuaca sejuk. Ribuan iguana dilihat kaku di seluruh Florida. Fenomena ini memberi peluang kepada pengkaji untuk memahami lebih dalam mengenai ketahanan haiwan itu terhadap cuaca sejuk.

Seorang ahli biologi, James Stroud, dan rakan-rakannya sudah bersiap sedia untuk mengutip pelbagai spesies iguana yang jatuh ini. Dalam kajian sebelum ini, Stroud mendapati bahawa kebanyakan spesies cicak boleh bertahan sehingga suhu mencecah 7 darjah selsius.

Apabila suhu jatuh di bawah 4 darjah selsius pada tahun 2020, mereka berpeluang mengetahui bahawa hampir kesemua spesies cicak ini mampu bertahan cuaca sesejuk itu.

Evolusi meknisma pertahanan diri

Apa yang mengejutkan mereka adalah daya ketahanan spesies iguana yang berasal dari kawasan beriklim panas seperti Amerika Tengah dan Puerto Rico. Spesies iguana yang dibawa masuk dan membiak di Florida ini sudah berevolusi mengikut keadaan cuaca tempatan.

Walau bagaimanapun, mekanisma pertahanan diri iguana yang unik ini tidak bermaksud mereka 100 peratus selamat. Ada sebahagian spesies akan mati jika berada dalam keadaan beku lebih daripada lapan jam.

Walaupun pengkaji memperolehi maklumat berharga, mereka tidak dapat menjangkakan apa yang bakal berlaku akibat perubahan iklim yang semakin tidak menentu dari tahun ke tahun.

Perubahan iklim mendadak yang berlaku di seluruh dunia pada ketika ini bukan menjadi ancaman besar terhadap spesies haiwan tetapi juga kepada manusia secara amnya.